Perpustakaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan UKM (PHCTM PPUKM) mula beroperasi pada 14 Julai 1997 selaras dengan penubuhan Pusat Perubatan UKM dengan matlamat untuk menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di Kampus Kesihatan serta menyokong keperluan maklumat para profesional perubatan dalam memberi rawatan kepada pesakit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan UKM. PHCTM PPUKM terletak di Aras 3, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Pusat Perubatan UKM, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
PHCTM PPUKM beriltizam untuk mempertingkatkan perkhidmatan kepada semua pelanggan iaitu kakitangan akademik, pelajar prasiswazah, pascasiswazah dan kakitangan kumpulan pengurusan dan pelaksana. Selain itu, Pustaka Maya Perubatan PPUKM yang dirasmikan oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia pada 11 Februari 2000, merupakan satu usaha perpustakaan untuk merealisasikan konsep “Perpustakaan Tanpa Sempadan”. Perkhidmatan Pustaka Maya kini ditingkatkan menjadi sebuah portal yang membolehkan sumber maklumat dalam bidang perubatan dan sains kesihatan dicapai secara dalam talian serta diuruskan dengan lebih sistematik, cekap dan berkesan.